Pelancaran dan perasmian Kursus Evengelisasi Peribadi ke-2 Sabah Online 2022: Yesuslah Jalan, Kebenaran dan Kehidupan

KOTA KINABALU – Uskup Agung John Wong melancarkan Kursus Evangelisasi Peribadi yang ke-2 (KEP2) dalam Misa Kudus bertempat di dewan Catholic Archdiocesan Centre pada 12 Feb 2022. Hadir sama dalam Misa Pelancaran itu ialah Fr Nicholas Stephen selaku Penasihat rohani Komisi, para penganjur, fasilitator dan para peserta KEP2.

Dalam Misa itu, Uskup Agung John Wong membuka tirai banner sebagai tanda pelancaran KEP2 Sabah Online dan kursus ini telahpun bermula pada 14 Feb 2022, setiap malam Isnin dan Rabu bermula jam 8.00 hingga 10.30 malam secara online dan berterusan sehingga pada bulan Jun 2022.

Di akhir Misa Pelancaran KEP2, para peserta telah menerima bahan kursus iaitu Buku Misi Evangelisasi dan Evangelii Nuntiandi yang disampaikan oleh Uskup Agung kepada perwakilan peserta seramai 26 orang.

Antara perkara yang disentuh oleh Uskup Agung dalam ucapan pelancarannya, agar para peserta dapat berjalan bersama dengan penganjur, pengajar dan fasilitator untuk mendalami cinta kasih Tuhan dalam Kursus ini dan mengalami Yesus satu-satunya Jalan, Kebenaran yang benar dan Kehidupan yang kekal dan disemangati oleh kuasa Roh Kudus serta dapat membawa pengalaman peribadi itu kepada orang lain yang mereka temui dalam kehidupan seharian.

 “Kita bersyukur kepada Tuhan kerana dapat menganjurkan KEP ke-2 Sabah ini setelah dua bulan menyelesaikan KEP Pertama pada bulan November tahun lalu,” kata Uskup Agung.

Tema KEP2 ialah “Yesuslah Jalan, Kebenaran dan Kehidupan” (Yoh 14:6). Menurut Pengerusi Penganjur KEP2, Sr Dariah Ajap fsic, tema ini disesuaikan dengan perjalanan sinodal gereja yang menekankan tiga aspek iaitu Penglibatan, Persekutuan dan Misi, dengan harapan agar para peserta dapat memimpin diri mereka sendiri untuk lebih mendekati Yesus secara peribadi sebagai Jalan, Kebenaran dan Kehidupan dan dapat mengongsikan Khabar Gembira ini kepada orang lain.

Gereja wujud untuk menginjil, oleh itu Misi Evangelisasi ini berasal dari Gereja, oleh Gereja dan untuk Gereja.

Penganjuran KEP2 Sabah Online ini disokong oleh Mgr Paskalis Bruno Syukur (Uskup Keuskupan Bogor), melalui Fr Yohanes Suradi sebagai Pastor Paroki Kristus Raja Serang mengutus para pengajar/penceramah yang diketuai oleh Pak Yakobus Ngadinun. Juga dibantu oleh tim KEP dari Keuskupan Melaka-Johor.

Penyertaan kursus ini amat menggalakkan di mana seramai 154 peserta dari seluruh Sabah telah mendaftar, yang terdiri dari Keuskupan Kota Kinabalu 100 orang, Keuskupan Keningau 31 orang, Keuskupan Sandakan 21 orang dan Keuskupan Agung Kuala Lumpur dua orang. Dalam perjalanan Kursus Evangelisasi ini, mereka dibahagikan dalam kumpulan dan beberapa fasilitator akan berjalan bersama mereka. Daripada 154 peserta KEP2 ini, 25 orang adalah peserta belia.

Pengerusi Penganjur mengungkapkan syukur, terima kasih dan penghargaan kepada Uskup Agung John Wong atas berkat dan sokongan menganjurkan kursus ini, juga kepada Uskup Cornelius Piong dan Uskup Julius Gitom kerana sokongan yang penuh kepada penganjuran KEP2 ini dengan mengadakan Misa Penghantaran peserta dari keuskupan masing-masing  untuk menyertai KEP2 Sabah Online. – Sr. Dariah, FSIC

Scroll to Top